KOTA KINABALU: Seramai 122 pelajar sekolah menengah tajaan Yayasan Sabah yang bersekolah di Semenanjung dan Sarawak selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 1.17 tengah hari tadi.
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria berkata, seramai 85 pelajar berkenaan bersekolah di Semenanjung manakala 37 lagi bersekolah di Sarawak.
“Penerbangan pesawat khas membawa kesemua pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima itu adalah ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Sabah.
“Kesemua pelajar ini akan dibawa ke asrama University College Sabah Foundation (UCSF) untuk menjalani saringan daripada pihak kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelajar berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.
Mengulas lanjut, Jamalul berkata berikutan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pagi tadi, kesemua pelajar berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, namun perlu menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 14 hari, selepas menjalani saringan pihak kesihatan hari ini.
“Pelajar yang berasal berhampiran Kota Kinabalu mungkin boleh balik ke rumah masing-masing hari ini, selepas menjalani saringan kesihatan, namun bagi mereka yang tinggal jauh seperti di Kudat, Tawau dan Sandakan akan di hantar esok memandangkan masa yang agak singkat,” katanya.

Dalam satu kenyataan pagi tadi, Shafie berkata pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Sabah, yang menuntut di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, termasuk penuntut di bawah tajaan biasiswa Yayasan Sabah yang pulang ke negeri ini, dikecualikan daripada dikuarantin di pusat yang disediakan./beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ