COVID-19 : MALAYSIA CATAT 105 KES BAHARU, 116 LAGI SEMBUH

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat sebanyak 105 kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah direkod di negara ini, setakat ini, sebanyak 6,176 kes.

Ia juga kes harian tertinggi sejak 16 hari lalu apabila Malaysia sebelum ini hanya mencatat kes di bawah paras 100 sepanjang tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya di Putrajaya, hari ini, berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, 11 adalah kes import manakala 94 adalah kes jangkitan tempatan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan seramai 116 pesakit lagi pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh 4,326 kes, atau 70 peratus.

Ini bermakna kes Covid-19 aktif di Malaysia setakat tengah hari tadi ialah 1,747 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 31 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 12 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baru dilaporkan setakat tengah hari tadi dan jumlah korban kekal 103 atau 1.67 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan./beritasabah.com