TUJUH SEKELURGA ANTARA DITAHAN TERBABIT DADAH

KOTA KINABALU: Seramai 31 individu termasuk tujuh sekeluarga ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan Op Sarang dan Op Covid-19 di beberapa lokasi, di daerah ini.

Operasi dan serbuan itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang bermula 25 April hingga 1 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tujuh individu yang ditahan di sebuah rumah di daerah ini adalah satu keluarga.

“Hasil serbuan itu, anggota polis turut menemui satu peket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 50.48 gram.

“Semua mereka yang berusia 12 hingg 31 tahun disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dan penjualan dadah di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Bagi sembilan lagi individu ditahan membabitkan kes bekalan dan pengedaran dadah.

“Hasil siasatan mendapati semua mereka ini tidak mempunyai pekerja yang tetap,” katanya.

Menurutnya, dua lagi individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952.

“Selain daripada itu, 10 individu lain ditahan bagu kesalahan memiliki dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ABD dan 12 individu ditahan mengikut 15(1)(a) akta sama.

“Daripada jumlah yang ditahan itu, 24 adalah warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing berusia 12 hingga 58 tahun,” katanya.

Mengenai jumlah rampasan dadah dalam tempoh itu, Habibi berkata, keseluruhan rampasan sebanyak 74.85 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM11,227 berdasarkan harga dadah semasa.

“Operasi dan serbuan yang dijalankan adalah usaha Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu dalam memantau, mengesan dan mengekang segala aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini.

“Bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, usaha sama daripada orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu melalui talian 088-529220,” katanya./beritasabah.com