COVID-19 : SERAMAI 135 LAGI PESAKIT DI MALAYSIA PULIH HARI INI

KOTA KINABALU: Seramai 135 lagi pesakit Covid-19 di Malaysia telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih seramai 4,702 orang atau 73.15 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang mediannya hari ini, turut memaklumkan sebanyak 45 lagi kes baharu dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan di negara ini, setakat ini, sebanyak 6,428 kes.

“(Daripada jumlah itu) sebanyak 1,619 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” katanya.

Noor Hisham berkata, daripada 45 kes baharu itu, 44 daripadanya adalah daripada penularan tempatan, katanya.

“Satu kes (baru) dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), iaitu di kawasan pasar borong Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia, menjadikan angka korban meningkat kepada 107, atau 1.66 peratus daripada jumlah kes.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 22 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang dua berbanding semalam.

Daripada jumlah itu, sembilan pesakit memerlukan bantuan pernafasan, meningkat satu kes berbanding semalam./beritasabah.com