KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), hari ini, menyampaikan bayaran dividen dan elaun sara hidup berjumlah RM1.05 juta kepada 2,425 penerima di seluruh negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, 1,533 penerima adalah ketua isi rumah peserta projek sosio ekonomi di bawah LKTNS dan 892 lagi penerima adalah peneroka Skim-Skim Rancangan Peneroka LKTNS.
“Selain itu LKTNS turut menyumbangkan RM112, 830 untuk tujuan bantuan makanan kepada masyarakat peneroka yang turut terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan gimik penyerahan dividen dan sumbangan berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar LKTNS, Syaheddrul R Joddari dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi LKTNS.
Mengulas mengenai kebenaran empat orang dalam satu kenderaan bagi keluarga tinggal serumah yang dikeluarkan polis Sabah hari ini, Mohd Shafie berkata ia terpulang kepada pihak polis untuk mengeluarkan arahan berkenaan.
“Namun saya telah mengarahkan agar pihak polis memperketatkan kawalan di kawasan yang mempunyai rekod kawasan zon merah,” katanya.
Mengenai pembukaan sektor ekonomi di negeri ini, beliau berkata persediaan akan dilakukan sehingga 12 Mei ini.
“Saya akan umumkan mana sektor ekonomi yang boleh beroperasi pada 12 Mei ini. Setiap sektor yang akan beroperasi perlu ada persediaannya terutama sektor penting termasuk makanan, pengangkutan, perkhidmatan, serta industri minyak dan gas,” katanya.
Mengenai pelajar Sabah yang terkandas di universiti masing-masing di Semenanjung dan Sarawak ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Shafie berkata kira-kira 11,000 pelajar yang belum kembali ke Sabah.
“Kita perlu persediaan untuk membawa balik kesemua pelajar berkenaan. Kita membawa mereka balik mengikut keupayaan kita.
“Ini kerana ada sesetengah tempat pelajar berkenaan perlu dikuarantin dan Sabah tiada kemampuan untuk menyediakan pusat kuarantin yang banyak.
“Oleh sebah itu kita juga melihat beberapa cara bagaimana untuk mambawa balik pelajar berkenaan. Mengikut perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi mereka mahukan pelajar yang dihantar balik ke Sabah adalah sama jumlah dengan pelajar di Sabah yang akan balik ke Semenanjung,” katanya./beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ