LELAKI TEMBAK MATI BIRAS

KOTA MARUDU: Akibat perselisihan faham ketika mabuk antara dua biras berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditembak biras sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Bintasan Darat, di sini, malam kelmarin.

Kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa bersama suspek dan tiga ahli keluarga sedang berkaraoke di rumah tamu rumah mereka sambil meminum arak.

Tiba-tiba berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum bercetus bertengkar.

Mangsa kemudian dikatakan mengambil sebilah parang manakala suspek menuju ke dapur lalu kembali semula sambil membawa senapang buatan sendiri jenis ginsuk.

Suspek berusia 23 tahun disyaki mabuk kemudian melepaskan tembak ke arah mangsa hingga menyebabkan parah dibahagian badannya.

Mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan menahan suspek terbabit.

Katanya, pihaknya turut merampas senapang buatan sendiri jenis ginsuk yang digunakan ketika kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya./http://beritasabah.com