KEBAKARAN MUNGKIN BERPUNCA DARI DAPUR ATAU PENDAWAIAN ELEKTRIK

MEMBAKUT: Kebakaran yang mengorbankan empat beranak di Kampung Binsuluk, di sini, mungkin disebabkan masalah pendawaian elektrik atau dapur memasak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, siasatan bagaimanapun masih dijalankan termasuk menunggu laporan lengkap berhuhung siasatan di lokasi kebakaran.

Katanya, laporan berkenaan dijangka siap dalam tempoh terdekat ini.

“Saya tidak boleh buat sebarang kenyataan mengenai punca sebenar kebakaran itu kerana masih menunggu laporan lengkap pegawai yang kini berada di lokasi.

“Bagaimanapun, secara kebiasaannya punca kebakaran seperti kejadian itu berkemungkinan berpunca dari dapur atau masalah pendawaian elektrik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Aishah Awang Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 ditemui rentung dalam kejadian pagi tadi.

Bomba dilaporkan menerima panggilan jam 2.54 pagi sebelum kebakaran berkenaan berjaya dikawal pada jam 5 pagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkesempatan melawat ahli keluarga mangsa di Kampung Binsuluk, pada petang tadi.

Beliau melahirkan simpati terhadap keluarga mangsa dan turut menghulurkan bantuan kilat termasuklah sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.-http://beritasabah.com