
TAWAU: Polis menembak mati tiga lelaki disyaki penjenayah dalam insiden berbalas tembakan di Batu 2, Jalan Kalabakan-Keningau, di sini, petang ini.
Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengekori ketiga-tiga suspek yang menaiki PERODUA Kancil warna putih selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan berhampiran bulatan Kalabakan.
Menyedari kehadiran polis, suspek memecut kenderaannya ke arah Batu 3 Jalan Kalabakan-Keningau sebelum membelok masuk ke sebuah ladang kelapa sawit di Blok 22 dan berhenti kira-kira satu kilometer dari jalan utama.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata ketika dihampiri, suspek yang berada dalam kenderaan dilihat mengacukan senjata lalu melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

“Seorang suspek yang berada di tempat duduk penumpang belakang juga kelihatan melepaskan tembakan ke arah polis lalu melarikan diri ke dalam kawasan kelapa sawit.
“Dalam usaha mempertahankan diri, anggota polis membalas tembakan menyebabkan suspek yang terkena tembakan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Fadil berkata, pemeriksaan dalam kereta berkenaan menemui senjata api Rifle 5.56mm, sepucuk Revolver dan sebilah pedang samurai.
Katanya, buat masa ini polis belum dapat memastikan identiti semua suspek yang dianggarkan berumur lingkungan 40-an, namun tidak menolak kemungkinan mereka terbabit dengan kegiatan jenayah.
“Kita juga menyiasat sama ada suspek turut terbabit dalam aktiviti pengganas,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK