LALUAN KE ISTANA NEGERI DIKAWAL KETAT

KOTA KINABALU: Kawalan keselamatan di Jalan Istana menuju ke Istana Negeri di sini, ditingkatkan apabila anggota polis mula berkawal di kawasan berkenaan, sebaik sahaja bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengadakan sidang media khas di kediamannya, petang tadi.

Tinjauan mendapati, kedua-dua laluan menuju ke Istana Negeri dikawal sepasukan polis sejak jam 8 malam tadi.

Beberapa kenderaan awam yang cuba melalui jalan menuju ke istana diarah berpatah balik.

Bagaimanapun keadaan terkawal dan beberapa petugas media turut berkumpul di laluan menuju ke Istana Negeri.

Terdahulu, Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, memaklumkan dalam sidang media khas satu gabungan baharu sudah dibentuk bersama ADUN Sabah daripada pelbagai parti.

Musa menyatakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Nardin sudah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT) pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memperoleh sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.

“TYT meminta saya mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan mereka.

“Saya sudah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang saya ketuai nanti.

“Sebagai melangkah ke hadapan, kerajaan gabungan baharu ini akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir pada saat ini akibat kelemahan kerajaan Parti Warisan termasuklah dalam mengatasi penularan wabak Covid-19.

“Dengan bantuan kerajaan persekutuan, saya percaya kita dapat mengatasi cabaran yang berlaku.

“Selain itu, kita mahu melonjakkan ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Sabah mendapati di laluan utama Istana Negeri mendapati sehingga kini belum kelihatan kenderaan yang membawa Tan Sri Musa Aman memasuki perkarangan istana.-http://beritasabah.com