KOTA KINABALU: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak mendedahkan kepada umum laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata ini kerana status dokumen berkenaan adalah bertaraf rahsia dan penarafan itu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
”Setakat ini, kerajaan masih kekal pendirian bahawa tiada keperluan untuk laporan akhir ini diedarkan kepada umum memandangkan isu, kandungan dan perbincangan yang direkodkan adalah bersifat teknikal dan melibatkan perkara sensitif.
”OIeh yang demikian, status dokumen kekal taraf rahsia rasmi dan perlu diberikan perlindungan seperti yang diperuntukkan undang-undang,” katanya ketika menjawab perkara yang dibangkitkan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) iaitu status laporan akhir MA63 pada usul Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Chan turut membangkitkan persoalan berhubung status 21 perkara yang dikemukakan dalam laporan itu dengan empat perkara masih dibincangkan iaitu isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750]; dan hak negeri ke atas pelantar benua.
Hanifah Hajar berkata, perbincangan berkaitan empat perkara ini masih diteruskan dengan kerajaan akan menyambung perbincangan mengenainya dalam majlis khas yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
Selain itu, katanya, satu jawatankuasa bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah ditubuhkan bagi membincangkan mengenai penyelesaian komersial berhubung minyak dan gas.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) bersama Menteri Kewangan (MOF) (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan urus setia MOF,” katanya.
Tambah beliau, perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak masih berlangsung manakala perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah dijangka menyusul kemudian.
Beliau berkata, kerajaan menerusi kementerian itu juga sedang memantau perkembangan 17 perkara yang telah diputuskan oleh JKKMA63, selain bertanggungjawab sebagai urus setia kepada majlis khas yang akan ditubuhkan bagi semakan pelaksanaan MA63.
Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin memaklumkan Dewan Negara pada Disember lepas bahawa 17 perkara dalam MA63 telah mendapat persetujuan bersama, antaranya tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di negeri Sabah, kuasa negeri ke atas isu kesihatan di negeri Sarawak dan Sabah, pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di negeri Sarawak dan Sabah.-http://beritasabah.com

More Stories
Calon UPKO Norfadzlina Ramsah terbaik wakil rakyat baharu DUN Labuk
Tanjung Aru Voters at the Heart of Dennison Indang’s Vision for Change
A strategic discussion in Malaysia’s Sabah