KET KIUN AKAN PERTAHAN KERUSI ELOPURA, HARAP TERUS DIBERI KEPERCAYAAN

SANDAKAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun menaruh harapan agar rakyat terus meletakkan kepercayaannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ket Kiun berkata, banyak projek pembangunan yang sudah dirancang di kawasan berkenaan termasuk mewujudkan jalan perhubungan, projek menaik taraf dan kerja pembaikan yang sudah diluluskan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak dapat diteruskan selepas pembubaran DUN Sabah diumumkan.

“Pelabur asing juga mula melabur di daerah ini. Jika projek yang dirancang sebelum ini dapat diteruskan, sudah tentu ia menawarkan peluang pekerjaan lebih banyak.

“Saya berharap agar pilihan raya kali ini penduduk Sandakan akan terus meletakkan kepercayaan kepada saya untuk meneruskan usaha yang telah dirancang demi pembangunan penduduk Elopura,” katanya di sini, hari ini.

Calvin turut menyuarakan penghargaan terhadap rakyat di kawasan itu yang memberi sokongan sepanjang lebih dua tahun beliau menjadi wakil rakyat.

Beliau menegaskan perjuangan dan fokusnya tidak pernah berubah sejak pengundi meletakkan kepercayaan terhadapnya menjadi wakil rakyat, sekali gus menjadi prinsipnya dalam perjuangan.

“Sepanjang saya jadi wakil rakyat, pasukan saya sudah sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah penduduk.

“Setiap individu yang masuk ke pejabat, disambut dengan senyuman manis dan layanan terbaik,” katanya.-http://beritasabah.com