SPR BERMESYUARAT 17 OGOS BINCANG TARIKH PENAMAAN CALON, PENGUNDIAN

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 17 Ogos ini.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat tersebut akan diadakan di The Magellan Sutera Resort Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 9 pagi.

Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom bagi membincangkan tarikh-tarikh penting urusan pilihan raya, katanya.

“Tarikh-tarikh penting tersebut adalah seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada DUN Sabah berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15 pada hari yang sama.-http://beritasabah.com