SANDAKAN: Semua Ahli Parlimen dari Sabah yang berkhidmat di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya berdiam diri terhadap isu keselamatan khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini yang mendatangkan masalah sejak sekian lama.
Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee susulan kenyataan Menteri Dalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai masalah pendatang asing di Sabah ketika persidangan di Dewan Rakyat, kelmarin.
Shir Yee berkata, wakil rakyat terutama Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak sepatutnya hanya berpuas hati dengan jawatan menteri disandang dan berdiam diri dengan isu berkenaan.
Vivian berkata, sebagai menteri bertanggungjawab dalam isu keselamatan, Hamzah sepatutnya memeriksa fakta dan tindakan kerana kenyataannya yang bercanggah hanya menunjukkan beliau tidak ikhlas untuk menangani isu pendatang asing di negeri ini.
“Pada bahagian pertama, beliau menyatakan sedang memperhalusi cadangan IMM13 dan selepas itu, beliau mengubah haluan dengan menyatakan tidak pernah mengatakan akan ada pengeluaran IMM13.
“Beliau tidak hanya bertentangan dengan diri di Dewan Rakyat, tetapi membuat pusingan balik terhadap apa yang telah diumumkan pada 15 Jun lepas.
“Ini sama sekali tidak dapat diterima daripada seorang menteri dan ini juga hanya akan menambah kekeliruan dan kekacauan berkenaan isu ini,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Pada 15 Jun lalu ketika lawatan kerja ke Sabah, Hamzah mencadangkan IMM13 sebagai dokumen standard tunggal untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dan tanpa kewarganegaraan di Sabah.
Vivian berkata, jawapan Hamzah itu menunjukkan beliau benar-benar tersasar daripada isu kritikal mengenai pendatang asing di negeri ini yang sudah lama wujud.
Katanya, kerajaan sepatutnya memperincikan bagaimana IMM3 sebagai dokumen standard berupaya menyelesaikan masalah kompleks berkenaan pendatang asing tanpa izin dan tanpa kewarganegaraan di negeri ini kerana banyak persoalan timbul.
Katanya, ia termasuk persoalan mengenai IMM13 iaitu dokumen untuk mendaftarkan pelarian dari Selatan Filipina hampir 40 tahun lalu yang masih dikeluarkan pada hari ini kepada pendatang asing.
“Adakah Putrajaya menggalakkan lebih ramai pendatang asing tanpa izin datang ke Sabah dan tinggal di sini melalui pengeluaran IMM13 ini? Apa garis panduan kita berkenaan siapa antara pendatang tanpa izin yang berhak mendaftar?
“Adakah anak dan cucu pemegang IMM13 juga berhak menjadi pemegang IMM13, adakah pemegang IMM13 ini dibenarkan bekerja di Sabah seperti pemegang pas pemastautin yang sah atau adakah mereka dianggap sebagai buruh asing yang juga perlu membayar pungutan levi pekerja asing?
“Semua ini isu kritikal yang perlu dijawab menteri sebelum dengan mudah membuat pengumuman berkenaan isu pendatang asing di negeri ini,” katanya.-http://beritasabah.com

More Stories
Calon UPKO Norfadzlina Ramsah terbaik wakil rakyat baharu DUN Labuk
Tanjung Aru Voters at the Heart of Dennison Indang’s Vision for Change
A strategic discussion in Malaysia’s Sabah