WARISAN MAHU BINA RUMAH BURUNG WALIT UNTUK VEVEONAH

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Junz Wong berjanji untuk membina sebuah rumah burung walit secara percuma kepada keluarga Veveonah Mosibin sekiranya parti berkenaan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan 26 September ini.

Beliau berkata sekiranya Warisan sekali lagi menerajui kerajaan Sabah selepas PRN, pihaknya akan memastikan rumah burung walit dibina untuk Veveonah dan keluarganya.

“Kalau Warisan menang besar dalam pilihanraya ini, saya secara peribadi akan memastikan Veveonah dan keluarga akan menerima rumah burung walit secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menuduh Veveonah menipu dan menghasilkan video memanjat pokok demi mendapatkan tontonan di Youtube.

Kenyataan Zahidi itu menimbulkan kemarahan kepada rakyat di negeri ini.

Mengulas lanjut, Junz yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pemberian rumah burung walit percuma itu adalah lanjutan daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Warisan.

“Program ini dipanggil Program Sentuhan Rakyat yang dilaksanakan sejak 2018. Pada tahun lalu, sebanyak 150 rumah burung walit dibina untuk rakyat Sabah di negeri ini dan daripada jumlah itu, 50 kita bina di Kudat dan Pitas.

“Melalui program ini, Jabatan Perkhidmatan Veterina akan membina rumah burung walit kepada peserta dan diberi tunjuk ajar seterusnya peserta diajar bagaimana untuk mengumpul sarang burung sebelum dibawa ke pasaran,” katanya.

Katanya, setakat ini program itu menunjukkan hasil yang positif dimana salah seorang pengusaha dari Kampung Bongkol, Pitas berjaya meraih pendapatan sehingga RM10,000 selepas menerima rumah sarang burung itu.-http://beritasabah.com