SANDAKAN: ‘Saya saya akan buktikan saya bukan pengganas’.
Ia reaksi calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Alias Sani apabila diminta mengulas mengenai sekeping gambar yang mendakwa pengasas sebuah sekolah swasta bumiputera, Sekolah As-Salam di sini adalah pengganas.
Gambar itu dengan kapsyen mendakwa Alias adalah ahli Jemaah Islamiah yang dikehendaki berikutan pernah ditahan di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) tersebar sejak semalam menerusi aplikasi WhatsApp.
Alias berkata, dia pernah ditahan di bawah akta pencegahan antara 2003 hingga 2007, namun tidak pernah dibicarakan dan dibuktikan dengan kesalahan jenayah.
Katanya, aktivitinya memberi sedekah dan belajar agama dengan beberapa orang tertentu pada sekitar 1990-an disangka boleh mengancam keselamatan, namun sebenarnya tiada kaitan jenayah.
“Tangkapan saya sebagai ‘preventive act’.
Saya tidak menyokong keganasan, apa pun namanya, apa pun bangsanya.
“Saya orang Islam yang cinta kepada perdamaian,” katanya selepas merasmikan gelanggang bola tampar di Kampung Bokara di Sandakan hari ini.
Alias berkata, sepanjang berada di Pusat Tahanan Kamunting, dia mendalami agama dan ketika ditahan juga, dia kehilangan ibubapanya.
Katanya, dia membuat keputusan
menyertai politik kerana mahu menawarkan nilai baru kepimpinan politik kepada rakyat.
“Ramai pemimpin seperti Mat Sabu (Mohamad Sabu), Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Tun M (Mahathir Mohamad) dan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pernah menjadi ‘alumni ISA’ dan akhirnya memberi sumbangan kepada negara menerusi peranan dalam politik.
“Ini yang saya buat sekarang. Ini (menyertai politik) hak saya yang dijamin perlembagaan Malaysia,” katanya.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius