SANDAKAN: Peruntukan bernilai RM4. 2 juta bagi menyelenggara jambatan dan beberapa lagi pembangunan di Sim-Sim, di sini dibatalkan kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata peruntukan itu dipohon selepas pilihan raya kecil Parlimen Sandakan dan sudah diluluskan oleh bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, katanya, sepucuk surat bertarikh 8 Julai 2020 daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menghancurkan harapan penduduk apabila peruntukan itu dibatalkan.
“Selepas kerajaan Perikatan Nasional menguasai Putrajaya, projek ini dibatalkan tanpa sebab. Kerajaan pusat perlu menjelaskan sebab pembatalan projek baiki jambatan yang kritikal.
“Kita tidak ingin melihat penduduk jatuh ke laut, terutamanya kanak-kanak,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Sementara itu, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon, berkata pembatalan peruntukan itu membuktikan kerajaan PN tidak mengambil berat nasib rakyat Sabah.
Katanya, mereka mendapat laporan mengenai keadaan beberapa jambatan di Kampung Sim-Sim yang berisiko dan membahayakan penduduk setempat sebelum segera melawat lokasi itu semalam bersama Vivian.
Frankie turut memberitahu pihaknya sebelum ini menyalurkan peruntukan daripada tabung untuk menyelenggara
jambatan di Kampung Melayu Sim-Sim ketika beliau menjadi ADUN di kawasan itu.
“Sekarang SAPP (Parti Progresif Sabah) telah menyertai gabungan PN.
“Adakah calon SAPP, Yong Chie Man juga bersetuju dengan tindakan kerajaan PN yang menindas rakyat Sabah, menolak permohonan peruntukan dari PH bagi menyelenggara jambatan di Kampung Sim-Sim hingga beri risiko kepada penduduk?” katanya.
Frankie berkata, kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat Sabah.
Katanya, DAP bersama Warisan Plus sentiasa mementingkan keselamatan dan keselesaan rakyat.-http://beritasabah.com

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius