SANDAKAN: Penduduk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut khususnya belia perlu diberi peluang pekerjaan dan digalakkan menceburi bidang ekonomi.
Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di kerusi itu, Benson Inggam, berkata beliau percaya taraf sosio ekonomi penduduk di DUN berkenaan dapat diperbaiki menerusi bantuan dan sokongan kerajaan sama ada dalam bidang pertanian atau penternakan.
Katanya, ia selaras dengan dasar pentadbiran tanah yang dilakukan kerajaan Warisan Plus pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Kuncinya penduduk haruslah mempunyai tanah persendirian dan bergeran supaya bantuan dapat disalurkan dengan mudah.
“Ini sekali gus akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk dan galakan kepada mereka untuk menceburi bidang ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan bersama penduduk daerah Tongod yang berkerja di bandar Sandakan di Kampung Indah Baru di sini, kelmarin.

Benson berkata, satu daripada tujuh teras dalam manifestonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah pelan pembangunan belia dan modal insan.
Katanya, beliau mahu mewujudkan platform yang dikenali sebagai peluangkuamut.com yang menjadi wadah kepada golongan belia mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan.

“Saya sedar terdapat ramai graduan dan golongan belia di DUN Kuamut yang masih menganggur dan sukar untuk mendapatkan pekerjaan.
“Mereka sebenarnya mempunyai potensi besar tetapi tidak mendapat peluang,” katanya.-http://beritasabah.com

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius