KOTA KINABALU: Sebanyak 1,337 proses sanitasi dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sepanjang bulan Mac hingga Oktober lalu .
Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, ia membabitkan bangunan-bangunan kerajaan dan juga tempat awam di seluruh Sabah menerusi permintaan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri yang turut dianggotai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sekiranya ada pihak yang memerlukan proses sanitasi ini, kami akan lakukan mengikut keperluan.
“Bagaimanapun terdapat kekangan dari aspek kekurangan keanggotaan bertugas sejak berdepan pandemik ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, setakat ini JBPM mempunyai purata 295 anggota di 25 balai bomba seluruh Sabah.
Namun katanya, setiap balai memerlukan pasukan bersiap sedia untuk panggilan kecemasan yang mengancam nyawa seperti kebakaran.
“Manakala selebihnya akan bersedia untuk proses sanitasi. Memang terhad dari segi keanggotaan kerana jadual anggota yang bekerja adalah padat.
“Pasukan bomba perlu bertugas 24 jam setiap hari, untuk melaksanakan kedua-duanya tugasan ini, sudah tentu berlaku ketidakcukupan anggota,” katanya.

Sehubungan itu, Kamarulzaman meminta masyarakat supaya memahami keadaan yang dihadapi pihak JBPM yang kini semakin bertambah dari segi bebanan kerja dan tugas.
“Ketika keadaan pandemik, tugas kita semakin bertambah. Jadi kita meminta masyarakat faham dalam keadaan pandemik ini panggilan kecemasan juga semakin tinggi.
“Sebab itu, kita minta masyarakat duduk di rumah, kerana kalau mereka berada di luar, kemungkinan berlaku kecemasan iaitu kemalangan itu ada berlaku,” katanya. -https://beritasabah.com/

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ