CADANGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN UNTUK MEMBERI PERMIT KERJA SEMENTARA KEPADA PENDATANG TANPA IZIN (PATI) ADALAH SATU TAMPARAN KEPADA PEMIMPIN PN, GRS DAN BN SABAH

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini bahawa Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memberikan pas sementara atau permit kerja kepada Pendatang Tanpa Izin (PATI) adalah satu tamparan hebat kepada setiap pemimpin Sabah dalam kerajaan Perikatan Nasional Negeri dan Persekutuan.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, sentimen terhadap isu pendatang tanpa izin di Sabah telah dimainkan sepenuhnya oleh para pemimpin dari PN, GRS dan BN dengan tujuan untuk menimbulkan kemarahan dan prasangka yang tidak baik terhadap kerajaan negeri pimpinan parti Warisan ketika itu yang mana tuduhan bahawa kerajaan pimpinan parti warisan adalah bertanggungjawab terhadap masalah PATI di Sabah.

Tidak menghairankan bahawa dalam beberapa hari ini kita telah melihat kenyataan-kenyataan yang datang dari Dr Jeffrey Kitingan Presiden STAR yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Presiden PBS Datuk Dr. Maximus Ongkili Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan dan Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mana mereka telah berusaha untuk memberikan penjelasan terhadap kenyataan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri.

Kenyataan yang bercanggah di antara mereka menunjukkan bagaimana Kerajaan Persekutuan masih tidak menghormati pandangan pemimpin Sabah dan tidak menghargai situasi yang kritikal terhadap permasalahan PATI di Sabah.

Adalah amat memalukan bagi Dr Jeffrey yang telah mengeluarkan kenyataan awal menyatakan bahawa cadangan untuk memberikan pas sementara atau permit kerja kepada PATI seperti yang diumumkam oleh Perdana Menteri tidak akan dilaksanakan di Sabah, telah disangkal oleh Dr. Maximus dengan menjelaskan bahawa cadangan tersebut juga akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak jika ada permintaan daripada golongan sektor perladangan dan pembinaan di negeri-negeri ini. Yang mengejutkan lagi percanggahan ini datang daripada dua presiden parti komponen kerajaan Perikatan Nasional.

Dr. Jeffrey dan Dr. Maximus mesti menjelaskan kepada setiap rakyat Sabah kenapa mereka adalah sebahagian daripada kerajaan yang bersedia untuk membenarkan atau menghalalkan PATI untuk tinggal dan bekerja di negara ini sedangkan sebelum ini mereka sangat lantang dan menentang keras cadangan untuk memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pelarian untuk menggantikan IMM13, Kad burung-burung dan sijil bancian di Sabah.

Sekiranya mereka mengatakan PSS adalah berbeza dengan cadangan terbaru Perdana Menteri, mereka memang betul kerana Cadangan PSS adalah berkaitan dengan pelarian dan bukannya untuk memberikan pas sementara kepada PATI. Disebabkan itulah kenapa cadangan terbaru daripada Perdana Menteri adalah jauh lebih berbahaya dan serius kerana ia memberi kebenaran dan menghalalkan PATI untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

Undang-undang yang sedia ada di negara kita menyatakan dengan jelas bahawa pendatang tanpa izin mesti ditangkap, didakwa, disabitkan kesalahan dan kemudiannya dihantar pulang ke negara asal mereka setelah selesai menjalani hukuman penjara.

Bagaimana pula Dr. Jeffrey, Dr. Maximus dan semua pemimpin PN, GRS dan BN yang lain dapat menyokong dan adalah sebahagian daripada kerajaan yang bersedia untuk mengeluarkan pas sementara untuk membenarkan dan menghalalkan kemasukan PATI secara haram dinegara kita?

Mereka seharusnya tidak bersikap hipokrit kerana selama ini mereka sendiri telah memberitahu rakyat Sabah tentang ancaman daripada PATI terhadap keselamatan dan kesan kepada sosio-ekonomi kita. Adalah amat hopokrit juga apabila mereka menggunakan isu PATI semasa pilihan raya negeri Sabah untuk mendapatkan sokongan dengan membuat janji seperti akan menghantar balik semua PATI yang telah memasuki Sabah secara haram. Tetapi sekarang daripada menunaikan janji untuk menangkap dan menghantar PATI balik ke negara asal, mereka sekarang bercadang untuk menawarkan pas sementara untuk tinggal di sini secara sah untuk bekerja.

Bagaimanalah caranya kerajaan mengenalpasti mana PATI yang akan diberikan pas sementara atau permit kerja? Kita telah membaca laporan-laporan akhbar yang mana Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyatakan kemunculan kelompok Covid-19 di pusat tahanan sementara PATI di Sabah sehingga mustahil untuk mempertimbangkan PATI dari pusat-pusat tahanan ini.

Atau adakah kerajaan akan membuat pengumuman dan menjemput semua PATI di negara ini untuk tampil dan memberikan mereka pas sementara dan permit kerja ini? Ini akan menyebabkan kebanjiran dan mendorong lebih ramai daripada mereka datang ke negara kita secara haram dan dengan berbuat demikian, meningkatkan risiko penyebaran virus covid-19 di negara ini. Jelas cadangan ini tidak difikirkan secara teliti oleh kerajaan pusat.

Kita memahami bahawa pandemik Covid-19 telah memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara kita dan kehidupan rakyat. Kerajaan persekutuan seharusnya mempertimbangkan terlebih dahulu untuk memberi peluang pekerjaan ini kepada rakyat kita daripada memberikan pas kerja sementara kepada PATI. Kenyataan yang dibuat oleh Arthur Kurup adalah cadangan yang dialu-alukan untuk dipertimbangkan bahawa rakyat tempatan terutama sekali golongan belia mesti diberi keutamaan terlebih dahulu.

Pilihan lain adalah dengan mempertimbangkan pelarian di Sabah. Daripada kesediaan kerajaan untuk memberikan pas sementara kepda PATI dan menghalalkan kedatangan mereka disini, kerajaan sebaliknya harus mempertimbangkan untuk menggunakan sejumlah besar pelarian di Sabah dengan memberi mereka permit kerja untuk bekerja di sektor perladangan dan pembinaan di Semenanjung Malaysia.

Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan pembinaan di seluruh negara tetapi juga akan membantu mengurangkan jumlah pelarian yang berlebihan di Sabah. Selain itu, pelarian-pelarian ini memiliki dokumen seperti IMM13, Kad burung-burung dan Sijil Bancian yang diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *