TIGA DITAHAN, POLIS RAMPAS DADAH BERNILAI RM90,000

BEAUFORT: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM90,000 dalam satu operasi khas yang dijalankan pada Isnin lalu.

Tiga individu turut ditahan termasuk seorang wanita pada operasi tersebut yang dijalankan di tepi pantai Kampung Mempakul, Menumbok di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir A.Razak berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, semua suspek yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux itu berhenti di kawasan tepi pantai berkenaan sebelum membawa satu bungkusan dipercayai berisi dadah yang diletakkan di celah batu.

“Pasukan polis kemudiannya bertindak menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum terus menahan semua suspek.

“Dua lelaki yang ditahan berusia 45 dan 57 tahun, manakala seorang lagi rakan wanita berusia 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, polis kemudiannya bertindak memeriksa bungkusan plastik teh cina berkenaan dan menemui ketulan hablur disyaki dadah seberat 2,065 gram.

“Saringan awal mendapati dua suspek lelaki positif Methamphetamine dan Amphetamine. Manakala suspek perempuan negatif dadah.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek utama dalam kes ini memperolehi bekalan syabu dari Kota Kinabalu dan dipercayai untuk dibawa ke Menumbok bagi dipasarkan serta kemungkinan akan dibawa dadah ke Labuan,” katanya.

Katanya semua suspek ditahan sebelum dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39 C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan,” katanya

Kejayaan rampasan dadah itu dijalankan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan dibantu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan IPD Beaufort.