RENJATAN ELEKTRIK, LELAKI DAN KERBAU DITEMUI MATI

PAPAR : Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari sumber tenaga tiang elektrik yang terletak di bahagian hujung pagar.

Itu komen Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Papar, Roslie Jun terhadap kes lelaki maut di hadapan rumahnya di Kampung Kuala Papar dekat sini awal pagi tadi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa dalam keadaan terbaring bersama seekor kerbau di kawasan tepi pagar hadapan rumah dan kawasan itu juga didapati berair.

“Kami terpaksa menunggu pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi memastikan kawasan itu selamat sebelum operasi dimulakan.

“Selepas pemeriksaan dibuat pihak hospital, mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 8.36 pagi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Salaman Dollah, 54, ditemukan dalam keadaan terbaring bersama seekor kerbau miliknya yang turut mati di tepi pagar berhampiran tiang elektrik.