KERANA SERABUT DAN TIADA PERINCIAN, BELANJAWAN KKM DITEGUR AHLI PARLIMEN TUARAN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) hari ini meminta kerajaan supaya memperincikan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Belanjawan 2021.

Beliau mempersoalkan 17 butiran dalam anggaran perbelanjaan untuk tujuan pembangunan kementerian berkenaan yang disifatkan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Apa yang saya lihat Tuan Pengerusi ialah, kesemua butiran anggaran perbelanjaan tersebut merupakan butiran “stand alone”.

“Pertanyaan Tuaran ialah, di manakah peruntukan untuk makmal di dalam 17 butiran tersebut? Berapakah peruntukan diletakkan di bawah butiran Ubahsuai, Naik Taraf dan Pembaikan; atau butiran Pejabat dan Jabatan Kesihatan; ataupun butiran Kemudahan Hospital?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan dalam persidangan Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Melanjutkan ucapan bahas, Madius juga turut meminta penjelasan tentang butiran anggaran perbelanjaan yang kelihatan berserabut.

“Tuaran juga ingin bertanya mengapakah butiran anggaran perbelanjaan tersebut kelihatan berserabut dan tidak tersusun rapi mengikut bahagian seperti hospital; makmal kesihatan awam, kemudahan kuarters dan sebagainya.

“Tuaran juga dapati bahawa anggaran untuk peralatan dan kenderaan telah dimasukkan dalam anggaran pembangunan.

“Bukankah ini pembekalan yang memerlukan perolehan? Bukankah ini sebenarnya perbelanjaan mengurus? Mengapa ada peningkatan sebanyak 1900% untuk kategori Peralatan & Kenderaan, dari RM31 juta ke RM589 juta? Berapakah peruntukan untuk Sabah?,” soal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.

Menurut Madius, beliau bangkitkan perkara itu kerana semasa dalam Perbahasan Peringkat Dasar, menteri KKM sendiri tidak jelas berkenaan dengan anggaran perbelanjaan yang telah diperuntukkan untuk menaiktaraf makmal-makmal kesihatan di Sabah.

“Contohnya Menteri ada menyatakan bahawa sejumlah RM1.6 juta telah diperuntukkan untuk menaiktaraf makmal-makmal kesihatan dan perubatan di Sabah.

“Tetapi beliau sendiri keliru dan tidak jelas berapakah peruntukan yang diperlukan untuk memastikan agar Jabatan Kesihatan Sabah mempunyai keupayaan untuk mengendalikan uji kaji sampel Covid melebihi 7,000 sampel sehari,” katanya.