TIDAK DITUNTUT, POLIS LUPUS 60 SENJATA API

PENAMPANG: Sebanyak 60 senjata api yang tidak dituntut oleh pemilik berdaftar dilupuskan Bahagian Perlesenan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pelupusan senjata api itu membabitkan 54 ‘shotgun’, empat laras rifled, sepucuk senjata ‘spare gun’ dan sepucuk revolver.

“Senjata api ini adalah milik orang awam yang disimpan di dalam stor senjata IPD Penampang.

“Bagaimanapun mengikut Seksyen 27(2) Akta Senjata 1950, pihak polis mempunyai hak untuk melupuskan senjata tumpangan yang tidak dituntut dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Beiau berkata demikian dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Mohd Haris berkata, IPD Penampang merekodkan keseluruhan sebanyak 91 senjata api yang disimpan di dalam stor.

“Malah ada antara senjata api ini tidak dituntut sejak tahun 2005. Selebihnya kita akan memberi ruang kepada pemilik untuk mengambil tindakan segera.

“Notis tuntutan awal sudah diserahkan menerusi program pertemuan dialog bersama pemilik senjata pada Mac lalu supaya diambil tindakan dalam tempoh tiga bulan,” katanya.