KIULU, Khamis 8 Mac 2018: Pengumuman oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman untuk menaikkan taraf Kiulu sebagai sebuah daerah kecil tidak lebih dari sekadar satu gimik pilihan raya untuk mengumpan penduduk Kiulu yang rata-rata pro-pembangkang untuk mengundi BN pada PRU14.
Sehubungan dengan pengumuman tersebut, menjadikan Kiulu sebagai daerah kecil itu akhirnya akan menjadi kenyataan juga walaupun PCS dan rakan-rakannya dalam pembangkang akan menggulingkan Kerajaan BN yang dipimpin UMNO kerana menaik taraf Kiulu menjadi daerah kecil adalah di dalam agenda kami (PCS) untuk Kiulu apabila berada bersama dalam kerajaan baru yang akan menggantikan BN.
Seruan untuk menjadikan Kiulu sebagai sebuah daerah kecil telah dibuat sejak tahun 1976 lagi semasa perayaan kemenangan BERJAYA yang diadakan di perkarangan tamu lama Kiulu setelah parti itu menggulingkan kerajaan yang dipimpin oleh USNO. Mendiang KK Kutup Rampasan dalam ucapannya menyeru kepada kerajaan baru ketika itu untuk menaik taraf Kiulu sebagai sebuah daerah kecil.
Kerajaan negeri bertukar tangan dari Berjaya ke PBS tetapi tiada apa yang berlaku dan sekarang ini, kerajaan BN yang dikuasai UMNO akhirnya melakukan apa yang diharap-harapkan oleh penduduk Kiulu selama ini, dan itupun hanya selepas mereka menyedari bahawa perkara ini akan menjadi agenda utama parti pembangkang dalam mendepani pilihan raya nanti. Ironinya, pengumuman ini dilakukan selepas lebih daripada 40 tahun rakyat Kiulu menunggu dan juga dilakukan menjelang pilihan raya umum di mana kemungkinan UMNO-BN akan tumpas.
Apa mungkin ini berupa langkah terdesak oleh UMNO-BN untuk cuba mempertahankan Kiulu agar kekal berada dalam tangan BN? UMNO-BN sememangnya terdesak untuk mempertahankan Kiulu. Kita tertanya-tanya juga kerana inilah pertama kali seorang Ketua UMNO negeri mengumumkan suatu perkara besar di kawasan yang bukan diwakili oleh UMNO. Apa yang berlaku mengesahkan sangkaan PCS bahawa kini UMNO-BN tahu mereka telah gagal membawa manfaat yang besar untuk rakyat Kiulu selama dua puluh tahun mereka berkuasa. Yang mampu UMNO-BN lakukan ialah menabur janji. Janji yang berulangkali telah ditawarkan.
Menjadikan Kiulu sebuah daerah kecil atau sebuah daerah penuh telah sentiasa menjadi denyutan jantung rakyat Kiulu. Bagi UMNO dan Musa Aman dan terutamanya YB Sulaman yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Hajiji Noor untuk akhirnya bersetuju menaiktaraf Kiulu sebagai sebuah daerah kecil semestinyalah telah membuat mereka sedar bahawa langkah ini merupakan satu-satunya umpan yang mereka boleh berikan kepada rakyat Kiulu agar BN dapat mempertahankan Kiulu pada PRU14 akan datang. Rakyat Kiulu harus sedar, apa mungkin janji ini satu lagi “indah khabar dari rupa?”
Mengenai penyerahan geran tanah kepada para pemohon tanah, tidak ada apa-apa yang perlu dilaung-laungkan atau dijerit-jeritkan tentang hal ini. Ketua Menteri dan sesiapapun pemimpin tertinggi BN dan UMNO yang telah bersama beliau semasa penyerahan geran tanah ketika itu sepatutnya menyedari dan merasa malu dengan diri mereka sendiri kerana hakmilik ke atas tanah itu hanya dapat dikeluarkan selepas lebih 43 tahun para pemohon itu berada dalam penantian. Malah adalah diberitakan bahawa ada di antara pemohon tanah itu yang terlalu tua untuk datang bertemu dengan Musa Aman dan menerima hak milik tanah mereka.
Untuk satu tadbir-urus yang baik, cekap dan beretika, dalam keadaan biasa, jangka masa lima tahun sudah dianggap terlalu lama untuk setiap permohonan tanah diluluskan dan dikeluarkan dengan geran tanah, apalagi suatu masa lebih dari empat puluh tahun! Pastinya ada sesuatu yang benar-benar tidak betul dalam proses pengurusan berkaitan permohonan tanah di Jabatan Tanah dan Ukur. Oleh itu dua unit dalam satu jabatan ini perlu diperbaiki dengan cara memisahkannya menjadi Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur, dua jabatan yang berasingan. Ini hanya boleh terjadi dengan melakukan perubahan rejim sepenuhnya pada PRU14.
Para penduduk Kiulu tidak perlu terlalu bimbang untuk membuang undi mereka kepada calon PCS dalam pilihan raya akan datang kerana menaiktaraf Kiulu menjadi sebuah daerah kecil ada di dalam agenda PCS dan lebih daripada itu, PCS akan memastikan setiap kampung yang terletak di kedua-dua belah sungai Tuaran dan Kimaulau bermula dari Tamparuli dan sampai ke hulu sungai akan dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Kami juga akan meneruskan cadangan yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing semasa beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tuaran untuk membina sebuah jambatan yang menyebrangi sungai Tuaran berhampiran pekan Kiulu.
Nota: Lesaya Lopog Sorudim adalah Ketua Unit Media dan Komunikasi PCS Pusat dan Timbalan Ketua Penerangan Parti. Disamping itu beliau juga adalah Speaker Persidangan Parti. Beliau juga berkhidmat sebagai Pegawai Akhbar kepada YB Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing sejak tahun 2000.
More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad