KES TETAK BEAUFORT: POLIS GIAT KESAN SUSPEK UTAMA, ORANG RAMAI DIMINTA TIDAK BUAT SPEKULASI LIAR

BEAUFORT: Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir A Razak menasihatkan orang ramai di daerah ini supaya bertenang dan tidak menimbulkan spekulasi liar berhubung kejadian tetak, di sini.

Azmir berkata, kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya masih dalam siasatan dan operasi mengesan suspek yang masih bebas masih diteruskan.

Katanya, terdapat banyak dakwaan dan fitnah terutamanya di laman sosial berhubung kejadian berkenaan yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak menimbulkan spekulasi liar dan fitnah dalam kes merusuh dengan senjata sehingga mendatangkan kecederaan, baru-baru ini.

“Jika keadaan masih berterusan, polis tiada pilihan untuk membuat siasatan terhadap dakwaan fitnah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.40 malam, Jumaat lalu, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang manakala seorang lagi turut cedera di kepala disyaki akibat dilibas kepala tali pinggang.

Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan itu tercetus selepas seorang pelanggan yang datang bersama tiga rakannya untuk membeli minuman keras bertengkar mulut dengan pemilik restoran.

“Polis sudah menahan individu yang terlibat termasuk penyerang yang membawa senjata seperti parang dan kapak.

“Polis juga sedang giat mengesan suspek utama dalam kes ini dan seorang lagi rakannya yang masih bebas.

“Oleh itu orang ramai diminta bertenang dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes ini,” katanya.