LAHAD DATU: Bapa borek anak rintik. Itulah yang boleh dikatakan untuk dua beranak yang dicekup polis ketika melakukan aktiviti pengedaran dadah di Kampung Cocos, di sini.
Bapa berusia 60 tahun bersama anak lelaki berusia 18 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan dibantu anggota Balai Polis Desa Kencana dan Tambisan dalam Op Tapis jam 2.30 petang, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, polis turut merampas satu beg plastik warna hitam yang di dalamnya mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 501.60 gram bernilai RM50,160.

“Turut dirampas iaitu sebuah kereta Proton Saga BLM. Semua jumlah rampasan termasuk kereta dianggarkan bernilai RM79,160,” katanya dalam kenyataan media.
Rohan Shah berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hidup dengan hasil upah mengedar dadah di sekitar daerah ini.
“Mereka kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ