Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri, bermula hari ini hingga 2 Jan depan.
Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam satu kenyataan berkata amaran peringkat kuning di Sabah akan melibatkan kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat (Kota Marudu) serta Labuan, berkuat kuasa hari ini sehingga Khamis.
Beliau berkata amaran sama turut dikeluarkan di Terengganu (Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) mulai Khamis hingga Sabtu ini selain di Kelantan dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu) dari Jumaat sehingga Sabtu ini.
“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah.
“Kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam sekali gus berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Jailan berkata angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah dalam tempoh berkenaan dan keadaan itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ