POLIS SABAH MAHU PENJENAYAH SENARAI HITAM DIHALANG MASUK SABAH

KOTA KINABALU: Polis Sabah bercadang menghalang penjenayah yang disenarai hitam termasuk tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) memasuki negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali berkata, cadangan itu turut dikuatkuasakan bagi tindakan pengusiran keluar penjenayah termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara masing-masing.

“Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi memperhalusi cadangan untuk senarai hitamkan semua penjenayah terutama golongan PATI yang melakukan jenayah.

“Sabah mempunyai bidang kuasa Imigresen sendiri dan kita cadangkan pesalah ini dihalau dari Sabah atau menghalang mereka masuk ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan pengiring Yang di-Pertua Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Hazani berkata, cadangan itu bagaimanapun perlu diperhalusi sebaiknya sebelum dilaksanakan dan pihaknya juga akan berbincang dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, Hazani berkata, suspek utama kes rusuhan di Beaufort baru-baru ini, “Jimmy Black” masih dalam buruan pihak berkuasa.

Katanya, suspek dipercayai masih bebas dan polis menasihatinya supaya menyerah diri bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Hari ini, seramai lapan individu yang terbabit dengan kes berkenaan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pergaduhan antara dua kumpulan di sebuah restoran di Beaufort pada 18 Dis itu turut menyebabkan kematian seorang lelaki tempatan. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *