TLDM SELAMATKAN 7 KRU KAPAL KARGO KARAM DI TERUMBU SEGAMA SANDAKAN

SANDAKAN:  Tindakan pantas kapten sebuah kapal kargo yang sedang tenggelam menghubungi pihak berkuasa meminta pertolongan, berjaya menyelamatkan nyawa kesemua tujuh anak kapal itu dalam kejadian di perairan Terumbu Segama petang semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Bili Odong, 55, kapten kapal kargo Mermaid Challenger, berkata beliau bertindak menghubungi pihak berkuasa setelah menyedari kapal yang membawa muatan empat kontena tersebut dimasuki air.

“Setelah mendapat respons daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memaklumkan bantuan akan sampai, saya kerahkan anak kapal menurunkan rakit keselamatan dan semua kru menaiki rakit itu.

“Ketika itu, kapal mulai tenggelam…saya tidak mahu mengambil risiko terhadap nyawa anak-anak kapal saya,” katanya ketika ditemui pemberita setiba di jeti Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) TLDM setelah diselamatkan oleh KD Sri Gaya, di sini hari ini.

Kru kapal itu Norhamri Abdul Satar, 61 berkata mereka memulakan pelayaran kira-kira 12 tengah malam semalam (17 Jan) dalam cuaca baik dari Sandakan menuju sempadan Malaysia-Filipina untuk menghantar kontena berkenaan ke sebuah kapal Filipina.

Bagaimanapun katanya kapal mulai dimasuki air dipercayai akibat satu kebocoran di bahagian depan kapal.

“Keadaan air yang memasuki kapal tidak dapat dikawal menyebabkan kapten kapal menghubungi pihak berkuasa. Keadaan laut juga semakin bergelora,” katanya.

Panglima Mawilla 2 Laksamana Muda Rusli Ahmad berkata kapal KD Sri Gaya yang sedang membuat rondaan di kawasan perairan berkenaan telah memberi respons segera kepada panggilan kecemasan kapal itu.

“Kapal KD Sri Gaya tiba di lokasi kejadian pada 6.40 petang dan berjaya menyelamatkan kesemua tujuh kru temasuk kapten berumur antara 18 dan 61 tahun yang berada di atas rakit keselamatan.

“Operasi memindahkan kru dari rakit ke kapal TLDM dilakukan secara pantas mengambil kira keadaan angin kencang dan laut bergelora, selain keadaan mulai gelap,” katanya.

Menurut Rusli, kejadian kapal karam itu merupakan yang ketiga berlaku di perairan berkenaan dalam tempoh seminggu, selepas kejadian membabitkan bot tunda pada 13 Jan lepas di Kuala Kinabatangan Besar dan bot pukat tunda nelayan dua hari kemudian  di Kuala Meruap.