98 PATI DITANGKAP DALAM OPERASI BERSEPADU

Seramai 98 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu membanteras PATI di Sabah.

Operasi yang diketuai Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah (JIM Sabah) ini diadakan di tanah-tanah simpanan kerajaan dan Taman Bunga Sulaman bermula 26 Jan lalu dan berakhir 2 pagi tadi.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, daripada 114 orang warga asing yang diperiksa, 98 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Ia termasuk 14 orang kanak-kanak dan 84 orang dewasa dari Filipian dan Indonesia.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan ini disyaki melakukan kesalahan seperti masuk dan tinggal di Malaysia secara haram, tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas serta melanggar syara-syarat pas.

Dengan itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan ini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Transit, Depot Imigresen Papar, sebelum ditahan bagi tujuan pengusiran di Depot Imigresen.

“Objektif utama operasi ini adalah bagi membenteras mana-mana warga asing khususnya PATI yang membuat penempatan haram di tanah-tanah simpanan kerajaan atau milik individu awam. Ia seperti yang tertakluk dalam Seksyen 55B, Seksyen 56 (II) D dan Seksyen 55 Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi ini disertai oleh seramai 101 orang pasukan penguatkuasa dan keselamatan termasuk JIM Sabah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pegawai Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Operasi diselaraskan oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan (TPPK) Hasanal Awang Hashim.

Justeru itu, JIM Sabah memberi amaran kepada warga asing khususnya PATI supaya jangan sesekali menceroboh penempatan awam terutamanya tanah simpanan kerajaan untuk dijadikan penempatan haram mereka sehingga mewujudkan kluster setinggan.

Katanya, amaran sama ditujukan kepada mana-mana individu yang bersubahat untuk membantu aktiviti yang membawa kepada pencerobohan ke atas penempatan awam.

“Suka saya mengingatkan kepada mereka yang berkenaan, pihak JIM Sabah akan mengambil tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi terhadap mereka yang terlibat.

“JIM juga memohon kerjasama orang rami untuk melaporkan kepada jabatan ini kawasan penempatan haram yang didapati menjadi penempatan PATI di sekitar kediaman mereka,” ujarnya. – Borneo Today