KOTA KINABALU: Mencatatkan tahap pematuhan SOP yang tertinggi dengan 95 peratus, daerah Sipitang akhirnya keluar dari zon merah dan kini berada dalam zon jingga.
Untuk hari ini, kes positif baharu Covid-19 di Sabah terus menunjukkan penurunan kepada 282 kes dan ini adalah hari kelima penurunan kes dicatatkan. Manakala, tiga kes kematian dilaporkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tiga kes kematian yang dilaporkan masing-masing dua kes di Lahad Datu dan satu kes di Keningau.
Beliau berkata, daripada 282 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 51 kes, diikuti dengan Sandakan (37), Penampang (24), Kinabatangan (18), Tawau (17), Lahad Datu (16), Papar (15), Putatan (14), Keningau (13), Kota Belud (12), Beaufort (11), Tuaran (9), Kalabakan (9), Ranau (8), Kudat (7), Kunak (5), Kota Marudu (5) dan Kuala Penyu (5).
Manakala, satu kes dicatatkan di Pitas, Nabawan, Tenom, Sipitang, Beluran dan Tambunan.
Hari ini daerah Tenom turut berubah dari zon jingga kepada zon kuning.
Menurutnya, daripada 282 kes positif itu, sebanyak 187 kes atau 66.3 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 63 kes, saringan kluster sedia ada tujuh kes, saringan masuk tempat kerja empat kes, saringan Perkeso satu kes dan 20 kes adalah dari lain-lain kategori.
Sementara itu, sebanyak 311 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 43,939 kes. Kes kematian di Sabah bertambah kepada 319 kes.
Setakat ini, sebanyak 48,019 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,647 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 792 orang di hospital dan 1,836 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
Terdapat 84 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,506 katil dan peratus penggunaan adalah 40.69 peratus. – Borneo Today

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ