Pesuruhjaya kanak-kanak dilantik selesai isu kebajikan, perlindungan kanak-kanak

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) — Kerajaan buat masa ini memutuskan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-kanak berbanding cadangan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-kanak bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perlindungan golongan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat bagi penyelesaian jangka pendek yang lebih praktikal dalam memastikan semua isu berkaitan termasuk kebajikan kanak-kanak dapat dipantau secara lebih baik.

“Meletakkan dan melantik Pesuruhjaya Kanak-kanak dalam struktur sedia ada Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) merupakan langkah menangani isu berkenaan kanak-kanak di negara ini dalam masa terdekat.

“Ini penyelesaian jangka pendek yang lebih praktikal dalam memastikan semua isu berkaitan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak dapat dipantau serta memastikan agar agensi atau badan-badan berkaitan memikul tanggungjawab masing-masing,” katanya sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu apakah status penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas di Malaysia yang sebelum ini dikatakan sedang dikaji.

— BERNAMA

[ad_2]