Astaga, kawat duri PKPD pun diorang gunting, polis Tawau sedang cari pelaku

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang merosakkan peralatan yang dipasang bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya akan mengesan individu yang telah merosakkan kawat duri dan tali rentang polis di kawasan PKPD kelmarin.

“Kita dapati peralatan polis termasuk kawat duri yang dipasang di kawasan PKPD Kampung (Kg) Muhibbah berhampiran jalan Sekolah Kebangsaan Gabungan telah dirosakkan. 

“Pihak polis sedang menyiasat perkara itu dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, kawat duri itu dipasang bagi memberikan peringatan tegas kepada orang awam bahawa jalan tersebut tidak boleh dilalui sepanjang PKPD dilaksanakan.

Peter berkata, kesalahan tersebut boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) dan Akta Polis 1967.

“Orang awam diminta untuk memberi kerjasama melaporkan sekiranya mengetahui ada individu yang sengaja mengalih dan merosakan peralatan tersebut,”katanya.

Terdahulu, Kg. Muhibbah dikenakan PKPD pada 10 April lalu susulan terdapatnya penularan kes selain kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan itu. – Utusan Borneo