Sebuah gudang yang dijadikan tempat penyimpanan peralatan kenderaan dan cat musnah terbakar dalam kejadian di Taman Lajong, Batu 3, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, gudang berkeluasan 557 meter persegi berkenaan musnah 100 peratus.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sentay Bakau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.59 pagi menerusi talian MERS999.
Katanya, sepasukan 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Kudat dikerah ke lokasi kejadian bersama tiga jentera dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Selain itu, kita turut mengerahkan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Ayer, di sini, untuk turut digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi.
“Setibanya pasukan dilokasi kejadian, bomba melakukan pemadaman dengan teknik “Offensive Firefighting” di beberapa sudut bangunan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sentay berkata, teknik berkenaan akhirnya berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan perumahan berhampiran.
Katanya, api berjaya dikawal pada jam 3.22 pagi sebelum tamat sepenuhnya pada jam 5.27 pagi selepas dipastikan tiada lagi punca-punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.
“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah,” katanya. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ