Bunga “Sakura” di Jalan Pintas sungguh mempesona

 Pemandangan indah dua pokok berbunga putih dan merah jambu kelihatan seakan bunga Sakura menarik perhatian ramai pengguna jalan raya sekitar Jalan Pintas Penampang dekat sini.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati hampir setiap 15 minit, pasti ada sahaja pengguna jalan raya yang akan memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk mengabadikan gambar kenangan bersama pokok itu.

Salah seorang pengguna jalan raya Kenny Khong, 36, berkata, keindahan pokok bunga itu menarik perhatiannya ketika dalam perjalanan menuju ke pekan Donggongon bersama anak lelakinya.

Beliau juga baharu mengetahui kewujudan pokok bunga itu semasa melalui jalan berkenaan.

“Saya terpandang bunga yang cantik ini secara tidak sengaja dan terus kagum melihat kecantikan kedua-dua pokok bunga ini.

“Anak lelaki saya juga begitu teruja selepas melihatnya dan meminta saya berpatah balik untuk merakamkan gambarnya di sini,” katanya yang berasal dari Kudat ini.

Seorang lagi pengunjung yang dikenali sebagai Julia, 62, menyatakan dia hanya mengetahui mengenai pokok itu selepas dimaklumkan anaknya melalui aplikasi WhatsApp.

Julia yang menetap di kawasan Kepayan begitu kagum melihat keindahan bunga-bunga berkenaan sehingga membuatkan dirinya seperti berada di negara Jepun.

“Saya biasa nampak bunga ini di beberapa jalan sekitar bandar raya Kota Kinabalu, tetapi hanya melihat bunga berwarna merah jambu.

“Gabungan bunga merah jambu dan putih di kawasan ini membuatkan ia kelihatan sangat cantik dan sesuai dijadikan lokasi bergambar,” katanya.

Mula tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu, lokasi sama turut menjadi pilihan jurugambar dan pasangan pengantin sebagai lokasi penggambaran.

Dikenali sebagai Pink Poui atau Tabuebuia Rosea, pokok bunga berkenaan boleh didapati di beberapa kawasan serta jalan utama sekitar Kota Kinabalu dan Penampang. – Utusan Borneo