Mana ngam untuk perpaduan kalau buku sejarah berat sebelah, kata NGO

Buku teks sejarah yang ditulis menerusi pandangan hanya satu kumpulan etnik tidak membantu mempromosikan perpaduan, sebaliknya ia akan menghalang pembinaan bangsa, kata sebuah NGO.

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) percaya matlamat utama buku teks sejarah adalah untuk menghuraikan sejarah negara.

Bagaimanapun, kekurangan buku teks yang “merangkumi semua” hanya akan menyempitkan pandangan pelajar mengenai sejarah negara.

Kenyataan itu menyusul kritikan berhubung edisi terbaru buku teks sejarah sekolah menengah yang disifatkan ramai sebagai berat sebelah dan tidak tepat.

“KLSCAH percaya Malaysia adalah negara yang mempunyai kepelbagaian dan setiap kumpulan etnik perlu mempunyai tempatnya dalam sejarah kita.

“Bagaimanapun, hanya merekodkan pendapat satu kumpulan etnik jelas tidak dapat menonjol dan menekankan konsep kepelbagaian dan inklusif negara. Ini tidak kondusif untuk membentuk identiti negara.

“Hanya dengan mengembalikan fakta sejarah etnik-etnik kita dalam pembangunan negara secara objektif, warganegara mempunyai rasa kekitaan dan identiti yang bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KLSCAH juga percaya buku teks sejarah sekolah menengah gagal menyebut tokoh sejarah dan peristiwa penting.

Ini termasuk sejarah pembentukan Kuala Lumpur dan Yap Ah Loy, tokoh yang dikatakan bertanggungjawab terhadap pembangunan bandar itu.

Dengan memetik versi terbaru buku teks sejarah Tingkatan Tiga, KLSCAH berkata, ia mengabaikan fakta sejarah mengenai sumbangan orang Cina dan India kepada masyarakat setempat. Hanya ada beberapa baris ayat yang memperkenalkan mereka secara ringkas.

“Kuala Lumpur – ibu negara Malaysia – memainkan peranan penting dalam pembangunan dan mempengaruhi seluruh negara. Apa yang dikesali adalah buku teks sejarah negara ini jarang bercakap mengenai kaitannya.

“Pegawai penjajah British memilih Kuala Lumpur sebagai ibu negara untuk negeri Melayu Bersekutu atas sebab penting,” katanya.

“Selain lokasi strategiknya, mereka mempunyai hubungan baik dengan Yap Ah Loy yang membantu menghentikan perang saudara, membentuk semula ketenteraman sosial dan membawa kepada pembinaan semula Kuala Lumpur.”

KLSCAH berkata, sumbangan tokoh sejarah itu (orang Melayu atau bukan Melayu) kepada pembangunan Kuala Lumpur hampir hilang dalam kandungan buku teks itu dengan hanya bahagian kecil diperuntukkan baginya.

Ia menyarankan kerajaan mendapatkan pandangan cendekiawan daripada semua etnik, melakukan lebih banyak penyelidikan dalam memperkenalkan sejarah pembangunan Kuala Lumpur serta sumbangan setiap etnik dalam pertumbuhan ibu negara Malaysia itu.

“KLSCAH percaya Kementerian Pendidikan mempunyai tanggungjawab memberikan fakta sejarah yang komprehensif, bukan sekadar kaedah autodidaktik untuk pelajar mencari maklumat dalam talian.

“Cukupkah bagi pelajar memahami keseluruhan sejarah pembentukan Kuala Lumpur hanya dengan membuat pencarian Google?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *