Elak kebakaran masa musim perayaan, ini tips yang perlu anda tahu

Dua hari kebelakangan ini beberapa kebakaran besar direkodkan di beberapa perkampungan termasuk Batu Sapi Sandakan serta Putatan membabitkan kemusnahan puluhan rumah penduduk dalam sekelip mata.

Laman Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menyatakan apa yang menyedihkan adalah rumah terbakar adalah milik golongan berpendapatan rendah kurang pengetahuan serta kesedaran tentang bahaya kebakaran.  

Katanya saban tahun kejadian ini sudah menjadi kebiasaan berdepan masalah kebakaran apabila tiba musim perayaan dan hasil kajian statistik mendapati kebanyakkannya berpunca dari kecuaian dan kelalaian atas keselamatan kebakaran dalam masa sama keghairahan menyambut perayaan mungkin menjadi salah satu faktor.

“Kadangkala kita selalu berfikiran melangkau jauh kedepan sehingga lupa, lalai dan leka dengan keadaan risiko dipersekitaran. 

“Sebagai contoh hari ni baru puasa ke-11 tetapi kita sudah fikir tentang raya bakal tiba, hendak beli baju raya, beli kasut, beli sofa baru, beli karpet baru, tukar langsir baru itu dan ini, sedangkan yang lama masih elok.

“Atas dasar tanggungjawab dan keperihatinan,  disini kami akan kongsikan tips keselamatan kebakaran sebagai peringatan dan amalan penduduk sekalian,” katanya.

Menurutnya apabila selesai memasak sentiasa pastikan kepala gas ditutup dan ditanggal dan tutup suis eletrik apabila keluar rumah.

“Jika menggunakan lilin semasa tiada elektrik , pastikan meletakkan likin di atas lapis piring kaca atau bekas yang tidak mudah terbakar dan jangan meletakkan lilin berhampiran langsir atau benda mudah terbakar.

“Apabila terhidu bau gas LPG, jangan hidupkan apa-apa sius lampu atau punca api termasuk rokok tetapi buka semua jendela dan terus periksa kepala gas dapur.

“Ibu bapa seharusnya sentiasa memastikan anak-anak agar tidak bermain dengan mancis dan tidak menggunakan sambungan soket elektrik berlebihan dalam satu masa,” katanya.

Tambahnya penduduk juga dinasihatkan untuk tidak merokok semasa hendak tidur dan sentiasa tahu dengan nombor kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran. -Utusan Borneo