Peniaga kecil-kecilan di Tawau berharap perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak dilanjutkan menjelang akhir bulan ini.
Jika dilanjutkan, peniaga seperti Ismail Sabran meminta pihak berkuasa membenarkan pelanggan makan di kedai dengan mengikut SOP ketat selain kaedah bawa pulang.
Ismail, 33, mengusahakan dua gerai makan – sebuah warung di Sabindo dan satu lagi di pasar malam di pusat bandar Tawau.
Disebabkan PKP di daerah itu yang berkuatkuasa 2 April lalu dilanjutkan hingga 30 April, Ismail hanya dapat membuka gerai di Sabindo kerana pasar malam tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, penutupan dan pembukaan perniagaan kerana tahap sekatan pergerakan yang berbeza menyebabkan peniaga kecil-kecilan menderita, dari segi kewangan dan mental.
Ismail bimbang semakin lama sekatan dikenakan di Tawau – salah satu dari tiga daerah di Sabah yang kini diletakkan bawah PKP kerana lonjakan kes dan kluster Covid-19, semakin sukar baginya mencari rezeki untuk menyara isteri dan tiga anaknya.
“Kami baru saja buka gerai selepas PKP di seluruh negara tamat (Februari lalu) sebelum sekatan terbaru ini,” katanya kepada FMT.
“Kalau sementara (sekatan) kami okay saja, bukannya berlarutan seperti sekarang. Dengan pelanggan tidak dibenarkan makan di gerai dan banyak kampung diletakkan bawah PKP diperketatkan di Tawau, perniagaan kami terjejas kerana hanya sedikit pesanan diterima untuk dibawa pulang.
“Pihak berkuasa harus membenarkan pelanggan makan di gerai kerana SOP sudah ada. Sekiranya mereka mahu, mereka boleh membuat garis panduan lebih ketat dan kami akan memastikannya dipatuhi.”
Ismail berkata, perniagaan kecil-kecilan lain seperti kedai gunting rambut, kedai “bundle” dan kedai menjual pakaian murah turut terjejas.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Bergerak Tawau Zulkifli Nordin, simpati dengan Ismail dan menyatakan sektor berkenaan “tidak pernah memberi mereka (pihak berkuasa) sebab untuk bimbang”.
“Seingat saya, tiada kluster melibatkan pasar malam atau kedai makan sejak kali pertama Covid-19 dikesan,” katanya.
Zulkifli berkata, tidak adil untuk menghukum sektor perniagaan kerana kluster komuniti dan di tempat lain, sambil menambah pihak berkuasa “hanya perlu menutup kawasan terjejas”.
Katanya, penjual makanan memahami kekecewaan penduduk di Kampung Muhibbah Raya dan Kampung Baru Pasir Putih di Tawau yang membantah lanjutan PKPD di kawasan mereka.
“Sebenarnya, kami lebih kecewa kerana ia melibatkan mata pencarian kami. Dengarlah keluhan orang ramai dan benarkan kami beroperasi seperti biasa.”
Tawau kekal daerah zon merah selepas melaporkan 8,975 jangkitan sehingga semalam, dengan 737 kes aktif.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ