Mayat lelaki hilang di Kalabakan sudah kena jumpa dengan kesan gigitan buaya

Mayat pemuda yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya di Sungai Brantian berjaya ditemui hari ini.

Jasad mangsa yang dikenali sebagai Mazlan Ampung,26, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.50 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini dimulakan pada jam 8.30 pagi.

Katanya, mayat mangsa ditemukan kira-kira 300 meter daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang selepas lebih empat jam pencarian dilakukan.

“Ketika ditemukan, keadaan jasad mangsa masih sempurna namun ada kesan gigitan pada bahagian pinggang sebelah kiri disyaki akibat serangan buaya.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan kira-kira 1.15 petang,” katanya dalam kenyataan media, di sini

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas disyaki disambar reptilia itu ketika sedang mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 7.30 malam pada Selasa.

Menurut saksi, Arianshah Ampung yang juga adik mangsa, pada ketika itu dia sedang makan di gerai berhampiran sebelum mendengar suara teriakan abangnya.

Arianshah kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian namun hanya sempat melihat kocakan yang besar di permukaan sungai dan mengesyaki kemungkinan abangnya dibaham buaya. – Utusan Borneo