Jangan buat tunjuk perasaan kalau tidak mau kena tindakan undang-undang: Polis

Polis beri amaran kepada pihak yang cuba menganjur perhimpunan ataupun tunjuk perasaan supaya menghentikannya segera sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, beberapa hari lalu terdapat cubaan tunjuk perasaan diadakan yang memaksa pihak polis mengambil tindakan perundangan. 

“Perbuatan mereka itu tidak melalui saluran yang betul dengan kesesuaian keadaan sekarang dan boleh membuat kegusaran kepada masyarakat.

“Dalam kes di Kampung (Kg) Muhibbah Raya, kita terpaksa menangkap tujuh individu yang melakukan tunjuk perasaan dan sekarang mereka masih dalam siasatan untuk pertuduhan di Mahkamah,”katanya dalam sidang media, di sini semalam

Peter berkata, selain itu, tercetus pula perhimpunan di Kg. Baru Pasir Putih yang menentang lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di sana.

“Kelmarin malam juga, kita menerima maklumat bahawa penduduk di Kg. Titingan mahu melakukan perbuatan yang sama, mujur polis dapat mengesan penganjur terbabit lebih awal.

“Polis tidak akan tunduk dengan perbuatan mereka itu, malah kita akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan terbabit,”katanya 

Menurutnya, perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut kesalahan Ordinan Darurat 2021 dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, pihak polis juga sudah bersedia menghadapi situasi tersebut termasuklah menggunakan kekuatan Light Strike Force dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU).

“Saya berharap masyarakat terutamanya di kawasan PKPD supaya bertenang kerana polis bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau sentiasa membincangkan keadaan statistik di sesuatu lokaliti,”katanya – Utusan Borneo