Pelajar lega kena benar balik kampung sambut raya

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar yang berada di kampus institusi pendidikan tinggi (IPT) pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Presidennya Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, keputusan itu sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada pelajar di kampus dan membolehkan mereka menyambut hari raya bersama keluarga, terutamanya yang sudah lama tidak pulang ke kampung masing-masing.

“Sudah tentu keputusan ini besar impaknya, terutamanya ke atas pihak pengurusan IPT dalam perihal logistik dan keselamatan mahasiswa.

“Kami percaya dengan pengalaman semasa Ops Hantar Pulang tahun lalu sudah memadai untuk setiap IPT bersiap sedia dengan lebih baik pada kali ini,” katanya.

Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri.

Semalam KPT dalam kenyataan berkata, kebenaran itu selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kepada sektor pendidikan.

Katanya, tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang pelajar ialah pada 7 hingga 12 Mei 2021, manakala pergerakan kembali semula ke kampus bermula pada 15 hingga 20 Mei 2021.

Bagaimanapun kebenaran itu tidak melibatkan pelajar di Sarawak.

Dalam pada itu Amir berkata, MPPK berharap pelajar di kampus terus cakna dengan pengumuman itu serta bersiap sedia secara individu untuk mengikuti SOP yang ditetapkan dan tidak berlaku sebarang masalah semasa pulang.

Katanya, pematuhan SOP amat penting semasa pergerakan pulang pelajar kali ini.

Sementara itu, berhubung pengecualian pelajar di Sarawak beliau berkata, ia disebabkan prosedur yang ditetapkan oleh negeri itu.

Sebelum ini kerajaan negeri menetapkan sesiapa yang memasuki Sarawak wajib menjalani prosedur kuarantin selama 14 hari.

“Ini bermakna pelajar tidak akan sempat menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dalam tempoh tersebut. Saya yakin pelajar yang berasal dari Sarawak akan memahami situasi ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *