COVID-19 NAIK LAGI! Kematian hampir 100 kes, positif baru 9,020 ini hari

Jangkitan harian Covid-19 terus melonjak dengan dua lagi rekod dicatatkan hari ini apabila Kementerian Kesihatan melaporkan 9,020 kes baharu Covid-19 dan 98 kematian.

Jangkitan harian mencatatkan rekod baharu selama lima hari berturut-turut, dengan rekod terakhir ialah 8,290 kes semalam, manakala angka korban tertinggi sebelum ini ialah 63 kematian yang dicatatkan Rabu lalu.

Seramai 5,527 pesakit pulih, menjadikan keseluruhan 479,666 daripada 558,534 pesakit Covid-19 sembuh setakat ini, manakala 2,650 orang meninggal dunia akibat virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 76,218 kes aktif, dengan 430 daripada 844 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, lima ialah kes import dan baki 9,015 kes penularan tempatan.

Katanya, Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi, dengan 2,836 kes.

Ia diikuti Kelantan (907), Negeri Sembilan (898), Kuala Lumpur (789), Sarawak (726), Johor (468), Kedah (468), Pulau Pinang (345), Melaka (340), Perak (272), Sabah (265), Labuan (253), Pahang (216), Terengganu (189), Putrajaya (29) dan Perlis (19).