Tempat shopping kusung masa PKP 3.0

 Suasana di pusat beli-belah sekitar bandaraya agak lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mula dilaksanakan di negeri ini kemarin.

Tinjauan Utusan Borneo di kompleks beli-belah Centre Point Sabah mendapati hanya beberapa kedai sahaja yang dibenarkan beroperasi.

Hanya beberapa orang pekerja berada di dalam kompleks berkenaan dan pengunjung hanya dibenarkan masuk dengan menunjukkan status aplikasi MySejahtera.

Salah seorang pekerja bahagian keselamatan di kompleks itu berkata, peraturan berkenaan mula dilaksanakan sejak minggu lepas atas saranan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, selepas pihak KKM membuat pemeriksaan di kompleks itu, pihaknya dinasihatkan supaya menghadkan hanya pengunjung yang mempunyai MySejahtera memasuki pusat beli-belah itu.

Katanya, tindakan itu juga bagi memastikan rekod pengunjung mudah diperolehi pihak pengurusan terutama jika berlaku jangkitan kes COVID-19.

Selain kompleks beli-belah, suasana di pasar awam juga sedikit lengang biarpun operasi pasar dibenarkan buka sehingga jam 3 petang.

Salah seorang peniaga sayur di pasar Chong Yun Moi berkata, biarpun pasar dibuka sejak jam 6 pagi, tidak ramai pelanggan datang ke pasar dan keadaan itu mungkin disebabkan oleh pelaksanaan PKP.

Katanya, suasana di pasar lebih sunyi berbanding operasi hari biasa berikutan kurangnya pelanggan. – Utusan Borneo