Ketua Kampung, pantau penularan Covid-19 di kawasan kamurang: Masidi

Semua ketua kampung di seluruh negeri diarahkan untuk memantau dan mengawal penularan Covid-19 dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, berkata arahan itu selaras kuasa yang diberikan kepada ketua kampung mengikut Ordinan Pentadbiran Luar Bandar [Sabah Bab 132] (OPLB).

“Semua ketua kampung hendaklah menjalankan kewajipan dan tugas dalam pentadbiran kampung seperti memaklumkan kepada datuk bandar, presiden majlis perbandaran, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah kecil dengan serta-merta jika berlaku perkara yang berkaitan Covid-19.

“Ia termasuk seperti penularan wabak penyakit Covid-19 di kampung, berlaku kematian dan jika ada penduduk atau orang yang berada dalam kampung melakukan atau cuba melakukan atau dengan niat melakukan kesalahan melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain itu, ketua kampung juga diarahkan mengambil langkah mengawal pergerakan kemasukan orang luar ke kawasan kampung dan semua maklumat orang luar yang masuk dan keluar dari kampung hendaklah direkodkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Masidi berkata, semua agensi media di Sabah dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi kebenaran kepada agensi media cetak di Sabah untuk menjalankan operasi percetakan seperti biasa.

“Bagaimanapun, masa operasi bagi liputan media cetak dan media dalam talian ditetapkan bermula 7 pagi hingga 7 malam.

“Bagi media penyiaran pula, kerja memproses bahan siaran dibenarkan beroperasi sehingga 3 pagi sahaja dan sebarang permohonan untuk masa tambahan operasi boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah Covid-19,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah, hari ini, adalah 207 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,244.

Selain itu, katanya, dua kematian direkodkan hari ini iaitu satu kes di Kunak dan Lahad Datu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *