Kalau ada lagi peserta kena gangguan seksual, kamu kasi lapor saja sama polis: JK Penganjur

Jawatankuasa Penganjur Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2021 berharap lebih ramai peserta unduk ngadau yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual supaya tampil dan melaporkan kes mereka.

Pengerusi UNK 2021 Joanna Kitingan berkata, pihaknya mahu nama unduk ngadau disanjung tinggi dan pada masa sama untuk melindungi peserta unduk ngadau.

Menurutnya, jawatankuasa penganjur amat bersimpati dengan apa yang dilalui oleh peserta unduk ngadau yang menjadi mangsa gangguan seksual baru-baru ini.

Beliau turut memuji keberanian peserta berkenaan untuk tampil membuat laporan polis berhubung kelakuan tidak senonoh individu yang sepatutnya memberi perlindungan bukan menjadikannya mangsa.

“Kami percaya keadilan harus diberikan kepada peserta ini dan pesalah sebenar perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya dan hukuman yang setimpal.

“Jawatankuasa penganjur UNK akan memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya diperlukan dalam membantu siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Joanna berkata, kejadian terbabit mengejutkan pihaknya yang begitu kesal dan kecewa dengan kes berkenaan sebagaimana dilaporkan seluruh media.

Katanya, pihak jawatankuasa tidak membenarkan eksploitasi sedemikian berlaku kepada mana-mana peserta UNK.

“Sebagai penganjur yang sudah lama terlibat dengan UNK, kami sentiasa melindungi peserta-peserta muda unduk ngadau bersama para penjaga sepanjang minggu pertandingan selama enam hari bermula 27 Mei hingga 1 Jun 2021.

“Bagaimana kejadian ini boleh berlaku adalah di luar jangkaan dan kawalan kami.

“Pihak jawatankuasa juga tidak menyedari dan tidak dimaklumkan keberadaan peserta terbabit apabila kejadian ini berlaku sebagaimana mengikut tarikh dan masa laporan iaitu sebelum pemilihan peserta 21 teratas,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, individu terbabit yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap peserta unduk ngadau adalah Ketua Pasukan Teknikal UNK yang baharu.

Beliau berkata, jawatankuasa penganjur tidak pernah menjemput individu terbabit untuk menjadi ahli jawatankuasa penganjur seperti yang dipersoalkan ramai pihak kerana lantikannya dibuat oleh Jawatankuasa Tinggi Penganjur. – Utusan Borneo