Sebuan gudang di Sandakan, 90,000 batang rokok seludup dirampas

Sebanyak 90,000 batang rokok seludup berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Bandar Letat, Batu 3, di sini, kemarin.

Gudang yang dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup itu diserbu Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan, pada jam 3.48 petang, hasil daripada maklumat risikan.

Semua rokok seludup berkenaan yang dianggarkan bernilai RM67,320 berdasarkan harga pasaran semasa dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika tiba di lokasi kes, gudang berkenaan dikesan dibiarkan terbuka dan tidak berkunci.

Katanya, pasukan serbuan kemudiannya membuat pemerhatian selama 30 minit namun mendapati tiada sesiapa yang menghampirinatai mengawasi kawasan gudang berkenaan.

“Bertindak atas arahan Pegawai Pemerintah Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad, pasukan serbuan terus melakukan pemeriksaan di gudang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui sembilan kotak berisi 4,500 bungkus rokok yang dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua rokok berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya. – Asia Times