RM9 juta diderma kepada Yayasan Akalbudi milik Zahid untuk bina masjid, mahkamah diberitahu

Umno president Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi leaving at the KL court complex after turning up to support Datuk Seri Najib Tun Razak,Thursday, October 25, 2018. RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Mahkamah Tinggi diberitahu, lebih RM9 juta yang didermakan seorang pemegang saham syarikat kepada yayasan milik bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi adalah bagi tujuan “sahih” iaitu membina masjid.

Peguam bela Hisyam Teh berkata, Mohd Jimmy Wong Abdullah telah memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau mendermakan lebih RM9 juta kepada Yayasan Akalbudi atas kehendaknya sendiri, dan tiada kaitan dengan MyEG Services Sdn Bhd.

Wong adalah pengarah bukan eksekutif syarikat itu, yang diberikan kontrak untuk menguruskan perkhidmatan kerajaan berkaitan dengan polis trafik, Jabatan Pendaftaran Negara, serta Jabatan Imigresen.

Zahid ketika itu adalah menteri dalam negeri bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Beliau turut berulang kali berkata tidak terlibat dalam operasi MyEG, tetapi pendakwaan cuba mengaitkan sumbangan itu dengan syarikat berkenaan.

“Ketika pemeriksaan utama, timbalan pendakwa raya tidak menyoal Jimmy Wong apa-apa berkaitan dengan rasuah.

“Sehubungan itu, kami berhujah sumbangannya tidak boleh dianggap sebagai pembiayaan haram atau melanggar undang-undang pengubahan wang haram,” katanya di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Wong dalam keterangannya tahun lalu berkata, beliau telah menemui Zahid pada 2015, dan ketika itu ditanya sama ada mahu membuat sumbangan bagi pembinaan masjid di Kajang serta Melaka.

Zahid menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Selain Wong, pembelaan berkata pihak lain yang menyumbang kepada Yayasan Akalbudi adalah Cergas Murni Sdn Bhd, HRA Teguh, Ong Weng Fatt, Hwa Thong Bags Industries, Hussein Annifah, Rajan Thurairetnam, Rajan Gunaratnam, Patt Siew Ming, Mohyiddin Al-Halabi, Tarbush Al-Halabi, Al-Halabi Lounge Sdn Bhd dan Mubarak Hussain. Semua dana ke dalam akaun firma guaman Lewis & Co.

Hujahnya, pendakwaan gagal menunjukkan bukti bahawa sumber dana dalam 25 tuduhan pengubahan wang haram terbabit adalah hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang. Zahid berdepan 27 tuduhan pengubahan wang haram.

Hisyam berkata, pendakwaan hanya memanggil seorang peguam (Muralidharan Balan Pillai) untuk memberi keterangan berhubung 25 tuduhan itu.

“Murali memberi keterangan bahawa beliau bertindak bagi pihak Yayasan Al-Falah, bukannya Yayasan Akalbudi.

“Jelas tertuduh (Zahid) tiada kaitan dengan Al-Falah dan tidak boleh memberi arahan kepada Murali di bawah undang-undang,” katanya.

Mahkamah sebelum ini diberitahu Yayasan Alfalah adalah milik adik Zahid, Mohamad Nasaee.

Katanya, keterangan Muralidharan boleh dipertikaikan kerana telah memberi versi berbeza-beza ketika pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas.

“Murali berkata beliau bertindak di bawah arahan tertuduh untuk memindahkan dana yang dipegangnya secara amanah, ke akaun-akaun simpanan tetap.

“Bagaimanapun, beliau turut berkata telah memindahkan dana berkenaan ke akaun simpanan tetap kerana itu yang diperuntukkan mengikut undang-undang kecil profesion perundangan,” kata Hisyam.

Mahkamah diberitahu, pendakwaan gagal memenuhi elemen keadaan mental Zahid berkaitan tuduhan pengubahan wang haram berkenaan.

“Kami mengesahkan tuduhan pengubahan wang haram tidak dibuktikan pada peringkat ‘prima facie’ malah menegaskan sumber dana itu adalah sahih,” kata Hisyam.

Perbicaraan bersambung pada 13 September. Peguam Hamidi Mohd Noh memaklumkan mahkamah, Zahid perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk titah ucapan diraja.

Bagaimanapun, Sequerah mahu Zahid hadir di mahkamah.

“Pengaturan boleh dibuat untuk kehadirannya di mahkamah pada 2.30 petang,” katanya.