Tidak kena kasi duit bikin beli dadah, lelaki tikam adik pakai gunting

Seorang lelaki nekad menikam kepala adiknya menggunakan gunting kerana marah selepas gagal mendapat wang untuk membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek berumur 31 tahun itu turut mengamuk dan merosakkan barangan di rumah dalam kejadian di Kampung Pintas di sini kira-kira jam 5.30 petang semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek pada mulanya meminta wang daripada ibunya bagaimanapun permintaannya tidak ditunaikan menyebabkan suspek marah sebelum mengamuk dan terus merosakkan barang-barang sambil menjerit-jerit.

“Adik suspek berumur 25 tahun yang melihat kejadian itu kemudian menegur suspek bagaimanapun suspek terus menyerangnya sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek segera mengambil gunting dan nekad menikam kepala adiknya,” katanya semasa dihubungi semalam.

Beliau berkata ibu mereka yang melihat kejadian itu segera meleraikan pergaduhan berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan dada akibat terkena gunting yang digunakan oleh suspek. 

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut,” katanya.

Yussof Zaki berkata bertindak dengan laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga terbabit suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya turut dirampas adalah gunting yang digunakan ketika kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai penagih dadah dan wang yang diminta dipercayai untuk digunakan membeli barang terlarang berkenaan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *