Mahkamah tetapkan 4 Okt bagi mendengar permohonan Rosmah tangguh bicara kes rasuah

Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Oktober ini untuk mendengar permohonan Rosmah Mansor supaya perbicaraan kes rasuahnya ditangguhkan sehingga selesai rayuannya melibatkan pelantikan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dan pengisytiharan untuk membatalkan prosiding terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yin Tinn berkata, tarikh itu ditetapkan hari ini dalam pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Peguam Jagjit Singh mewakili isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

FMT difahamkan, pendakwaan juga akan memfailkan afidavit membantah penangguhan perbicaraan selain supaya Rosmah memulakan pembelaannya pada 5 Oktober.

Minggu lalu, hakim Mahkamah Tinggi memutuskan sebagai sah pelantikan Sri Ram di bawah Kanun Prosedur Jenayah oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, pada Ogos 2018.

Beliau turut menerima hujahan alternatif oleh pendakwaan bahawa surat pelantikan oleh peguam negara kini, Idrus Harun, yang dikeluarkan untuk Sri Ram pada 21 Mei boleh membetulkan sebarang kecacatan oleh Thomas.

Mahkamah turut menolak permohonan lisan Rosmah untuk penangguhan prosiding sementara rayuan diselesaikan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta daripada kontraktor Saidi Abang Samsudin dalam projek panel solar bagi sekolah di Sarawak, selain menerima wang tunai RM6.5 juta daripadanya.

Wang itu didakwa bagi membantu syarikat Saidi, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapat projek bernilai RM1.25 bilion itu.