Mangsa hilang masa mandi di pantai UMSKAL, ditemui mati lemas

Seorang mangsa yang hilang ketika mandi di Pantai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Jalan Sungai Pagar, di sini, semalam, ditemui, meninggal dunia, hari ini.

Mangsa berusia 17 tahun itu berjaya ditemui kira-kira jam 5.50 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dijalankan awal pagi, hari ini.

Katanya, operasi dijalankan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi SAR membabitkan seramai 42 anggota dan pegawai yang dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan bot m untuk menjalankan operasi mencari.

“Operasi turut dibantu unit Scuba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Jawa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa Al Saeif Manahan, disahkan meninggal dunia oleh pasukan KKM yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, dua beradik tiri yang melakukan aktiviti riadah di pantai dilaporkan hilang ketika mandi di laut berkenaan.

Bagaimanapun, seorang daripada mangsa, Faiez Rizal Adnan, 23, yang ditemui selamat dihantar ke Hospital Labuan untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Asia Times